Thursday, 21 April 2011

BAB 4.

Ibu, ayah dan adik aku, Ariana bakal bercuti ke Pulau Pangkor. Kebetulan aku ada ujian minggu ini. Terpaksa aku tinggal seorang diri di rumah. Hanif, si abangku sibuk dengan perkhemahan pula ada kem di Johor. Walaupun berkali ibu pesan supaya aku tangguhkan dulu ujian aku, tapi aku menolak. Sudah lebih lima kali aku menangguhkan, terbayang di ruangan mata aku muka Puan Roziana, pensyarah aku yang berwajah bengis. Lebih baik aku melupakan impian aku berhibur bersama keluargaku daripada didenda tidak hadir diri semasa ujian. Ariana mengejek-ejek tanda suka aku tidak dapat turut serta makan angina keluarga aku kali ini. Adik aku yang seorang ini memang sengaja mencari masalah denganku. Aku mengetap bibirku perlahan.

“Jaga diri baik-baik, kakak. Jangan buat benda bukan-bukan pula bila kami tiada di rumah,” sempat ibu berpesan sebelum masuk ke dalam kereta. Tangan ibu dan ayah ku kucup tanda kasih. Ariana di belakang ibu hanya tersengih-sengih memandangku. Sempat aku mengunjukkan buku lima ke arahnya.

Hanya wajah muram ku hantar pemergian keluargaku di muka pintu. Ayah sempat menghulurkan aku duit belanja aku untuk seminggu. Ayah memang sangat mengerti mengenai tabiat aku yang agak boros kalau berbelanja. Duit pemberian ayah minggu lepas hanya berbaki RM10 itu telah ku masukkan ke dalam tabung kucing aku. Terasa bosan duduk di rumah. Ingin saja aku menelefon Amar, tapi dia pasti sibuk dengan kerjayanya. Hazriq? Aku masih lagi merajuk dengannya tentang kejadian tempoh hari. Terbayang-bayang aku wajah nakal Hazriq mentertawakan aku tanpa belas kasihan. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk keluar meronda sahaja di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dengan kereta Perodua Kelisa milik ibu. Memandangkan cuaca agak muram seperti memberi petanda nak hujan, terpaksa aku batalkan niat untuk menunggang motorsikal kesayangan aku. Tanganku mencari gugusan kunci yang tergantung di dalam kotak kunci.


Nasib aku baik kerana jalanraya tidak sesak seperti selalu, mungkin sekarang bukan waktu manusia balik kerja lagi. Aku cuba menelefon Suraya, teman sekuliahku dengan harapan dia dapat menemani aku. Tapi semua panggilan aku masuk ke peti simpanan suara. Mengecewakan. Berhenti di lampu isyarat berdepan Maybank Bukit Bintang, aku seperti terperasankan seseorang. Sepasang kekasih sedang berpimpinan tangan mesra berjalan melintasi kereta yang berhenti di lampu isyarat. Si gadis  meletakkan kepalanya manja di bahu si lelaki sambil tersenyum riang. Tangan kanan si lelaki pula memeluk erat pinggang si kekasih. Aku mengetap bibir. Terasa berkaca mata aku seketika. Hon yang bertalu-talu di belakang aku menyedarkan aku dari khayalan. Kelibat pasangan kekasih tadi sudah lama hilang di celah-celah manusia. Aku menarik gear dan terus memandu.

“Kenapa Amar tipu aku?” hatiku menjerit pilu. Air mata yang aku tahan dari tadi sudah tidak dapat dibendung lagi. Laju menuruni di pipiku. Aku kecewa. Teringat aku sempat menelefon Amar pagi tadi, aku ingin mengajaknya menemani aku keluar berjalan hari ini memandangkan keluargaku tiada di rumah. Pelbagai alasan diberikan Amar. Meetinglah, boss nya minta dia gantikan dirinya untuk pembentangan pada meeting nanti. Aku hanya mengiakan sahaja. Tidak sangka aku bertembung dengan dirinya sedang memeluk erat gadis lain. Ya Allah, ujian apakah ini? Tangisanku semakin kuat. Selang beberapa minit kemudian kedengaran lagu “Sampai Menutup Mata” nyanyian penyanyi popular Acha Septriasa di handphone ku menandakan ada seseorang menelefonku. Terpampang di skrin gambar Hazriq. Aku meletakkan kembali telefon bimbit. Hatiku benar-benar berkecamuk saat ini. Terasa ingin aku menjerit untuk melepaskan amarahku tapi akal fikiranku menenangkanku. Kereta dibelok ke Taman Tasik Titiwangsa. Aku cuba menyeru kekuatan aku. Aku menahan sebak. Apa salah aku sehingga Amar sanggup menduakan aku? Patutlah Amar semakin menjauhi aku, rupanya sudah ada bunga lain yang dikejarnya. Aku cuba menelefon handphone Amar tapi tidak dapat di sambung. Air mataku semakin deras mengalir. Selepas aku rasa reda sedikit perasaan aku, aku menghidupkan enjin dan memandu pulang ke Subang Jaya. Sepanjang perjalanan, sengaja aku menguatkan bunyi radio untuk cuba menghilangkan kesedihan yang aku alami. Fikiranku menerawang mengingati detik manis bersama Amar, apakah aku terlalu sibuk sehingga tergamak hatinya mencari gadis lain? Adakah aku terlalu kekampungan di matanya? Gadis yang kulihat dipeluk erat oleh Amar bukanlah calang-calang orang, tingginya lagak seperti model Asian. Aku melihat diriku berkali-kali, aku memang kekurangan. Tiada apa yang dapat Amar banggakan apabila memiliki aku. Tapi tahukah dia betapa dalamnya kasih sayang aku kepada dia? Fikiranku berkecamuk mengenangkan cintaku yang akhirnya terlerai dibawa pergi. Enjin ku hidup dan lantas Tasik Titiwangsa aku tinggalkan bersama airmata yang masih lagi bersisa.

Thursday, 7 April 2011

BAB 3.

Baru aku perasan sudah hampir seminggu Hazriq tidak menghubungi aku. Selalunya pagi-pagi lagi bergegar handphone aku dengan mesej darinya. Tak boleh jadi ni. Merajuklah dengan aku gara-gara tidak menemani dirinya menonton wayang tempoh hari. “Hish, kemanalah Hazriq ni menghilang,”dengus hati aku. Terasa kekok bila dia tidak menelefonku seperti selalu. Aku cuba membuat panggilan ke telefon bimbitnya tapi gagal dan masuk ke peti suara. Hatiku mula berprasangka buruk bimbang sesuatu terjadi dekat satu-satunya sahabat baik aku itu. Hampir 2 tahun aku dan  Mohd Adam Hazriq saling mengenali. Malahan segala rahsia suka duka kami berkongsi bersama. Hari-hari kami lalui bersama. Kalau tidak bergayut mesti berSMS,  kalau tidak kami akan saling betemu di alam maya. Pokok kata hubungan kami seperti pasangan orang bercinta. Aku bahagia dapat mengenali dia. Walaupun perkenalan yang tidak sengaja itu bermula dengan pertengkaran namun kelamaan kami mula menerima hakikat bahawa kami ditakdirkan untuk bersahabat. Nak kata kami bercinta mustahil sekali tapi aku lebih selesa menceritakan segalanya dengan dia. Jika aku ada masalah dengan buah hatiku tidak segan aku menelefon dan menangis semahunya menceritakan masalahku satu demi persatu begitulah sebaliknya. Dia akan cuba menenangkan hatiku yang gundah gulana dengan memetik gitar cabuknya sambil bernyanyi lagu kegemaranku untuk menghiburkan aku semula. Aku benar-benar bahagia mengenali Hazriq. Jarak rumah yang agak jauh tidak menjadi masalah untuk kami berdua saling bertemu. Aku yang tinggal di Subang Jaya manakala Hazriq pula tinggal di Semenyih, Selangor. Tersengih-sengih aku mengingatkan detik sejarah perkenalan antara aku dengan kawan baik kesayangan aku itu.

Hubungan kitaorang memang sering disalah ertikan. Ramai yang menyangka aku bercinta dengan Hazriq padahal kami hanya berstatus kawan baik sahaja. Nasib baiklah buah hati aku jenis sporting dan tidak mengambil pusing khabar angin yang mengatakan aku dan Hazriq bercinta. Hazriq hanya sekadar ketawa bila kawan-kawan perempuannya cuba mengorek rahsia mengenai diriku. Hazriq yang masih lagi single sudah pasti masih mencari mana-mana gadis yang sesuai untuk dijadikan teman pendampingnya. Akulah yang selalu menjadi mangsanya untuk menjadi orang tengah memikat gadis kegemaranya. Namun belum pernah yang berhasil lagi. Kerana menyangka Hazriq hanya orang biasa yang hanya mempunyai motor skuter cabuknya, ramai gadis memandang rendah.



Suatu hari tergempar kolej kami tergempar dengan kehadiran pelajar perempuan baru. Orangnya memang cantik, tinggi langsing dan mempunyai raut wajah yang sedap mata memandang. Hazriq yang kebetulan menjemputku pulang ternganga melihat pelajar baru yang dikenali sebagai Melissa. Dia mula menunjukkan jarum membodek-bodek aku mengenalkan gadis itu dengannya dengan lebih rapat lagi.
Ala babe, tolonglah aku weh. Kau tak sayang aku ke? Lama dah aku menduda ni tau. Sunyi kot. Kau lainlah kan ada Amar temankan, tak kesian ke dengan aku ni babe?” Hazriq mula mengumpan aku dengan pujuk rayunya.. Aku sekadar tersenyum. Tetiba aku terasa lain. Jauh di sudut hati aku rasa cemburu sangat. Kenapa ya? Entahlah, tetiba perasaan itu muncul sendiri dan jadi menyakitkan. Aku cuba tidak mempedulikan dan menganggap ianya hal yang remeh untuk difikirkan. Memang aku tak nafikan aku dan Amar jarang berhubung sejak kebelakangan ini lantaran Amar yang baru mendapat kerja baru yang pastinya sibuk menyesuaikan diri di persekitaran tempat baru. Yang pastinya Amar jarang hendak menelefon bertanya khabar aku seperti sebelumnya. Aku dapat rasakan hubungan kami semakin jauh.  Segala keperitan dan kesedihan  aku akan aku kongsi bersama Hazriq. Dia sangat memahami aku. Dia cuba menenangkan aku dengan kesibukan Amar yang mungkin mencari duit untuk meminang aku juga. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak mendengar alasan Hazriq. Kenapa dia mesti menyebelahi Amar yang sudah terang-terangan menghiraukan aku? Hati aku terasa sayu. Terasa jangka masa 4 tahun aku mengenali Amar tidak seindah yang aku impikan. Namun Hazriq sering menceriakan hariku dan dapatlah aku melupakan kesedihan aku untuk sementara waktu. Di kolej jarang sekali aku berlonggok bersama teman-teman sekuliahku. Bukan kerana sombong tetapi aku agak susah untuk berkomunikasi dengan mereka. Mereka cenderung kepada gaya dan fesyen yang dibanggakan. Aku pula lebih selesa mengenakan jeans dan tshirt fit disarungkan ke tubuhku. Aku masih kolot dalam pemakaian fesyen ini lagilah make up. Aku tersengih-sengih mengenangkan kekurangan diriku.

Suatu hari aku dikejutkan panggilan dari Hazriq yang mengajak aku lepak di tempat biasa di Tasik Taman Keramat.  Disitulah kebiasaan kami pada waktu petang melepak sambil mencuci mata melihat pelbagai ragam karenah dari kelompok manusia. Setibanya di Tasik Taman Keramat, aku memilih bangku kosong untuk kami duduk berdua yang menghadap tasik. Seperti ada sesuatu yang serius Hazriq ingin bincangkan dengan aku. Aku sabar menunggu  dia bersuara. Dalam hati hanya Tuhan yang mengetahui debaran yang aku rasakan.

“Qilah, tak lama lagi aku nak nikah dengan gadis pilihan orang tua aku. Tarikh dan persiapan sudah mula diaturkan. Aku betol-betol terkejut babe dengan keputusan orang tua aku yang ingin segera aku mengahwini anak gadis kawan kepada Papa aku. Seriously babe, aku memang tak bersedia lagi. Tapi aku tak mampu nak menentang cadangan Papa dan Mama aku,” sayu suara Hazriq meluahkan kekalutan yang membelungi jiwanya. Aku yang turut terkejut mendengar khabar daripada Hazriq hanya mampu menelan air liur. Terasa pahit untuk aku telan. Ini bermakna aku akan berpisah dengan kawan baikku. Takkan aku nak menghubungi suami orang. Apalah kata orang tuanya dan isterinya nanti? Aku mencuri pandang melihat raut wajah Hazriq yang seakan baru lepas menangis. Aku mengerti perasaannya saat itu. Melepaskan zaman remajanya adalah sesuatu yang sukar untuk diterima. Hazriq yang tunduk tadi kini mula memandang tepat ke wajahku. Dia seakan mendengar bebelan hatiku yang turut terkejut untuk menerima kenyataan tersebut.


“Babe, kau kenapa ni? Gembiralah orang nak jadi pengantin tak lama lagi”, aku mencubit lengannya bila matanya tidak berkelip berterusan memandang anak mata coklatku. Aku memandang tepat wajahnya. Wajahnya yang seakan iras pelakon sinetron Indonesia Ricky Harun itu tidak jemu ku tatap ditambah mukanya yang putih bersih itu dengan rambut keperangan semula jadi membuatkan sesiapa gadis yang memandangnya akan jatuh cinta. Tangannya aku capai dan ku genggam kemas bersama tautan tanganku juga.

“Aku yang bernama Aqilah Danilla akan tetap sayang kawan baiknya Mohd Adam Hazriq sampai kapan pun. Suka tak aku cakap macam ini?” ujarku sambil tersengih-sengih menampakkan gigi yang tersusun atur. Hazriq di sebelah mula tersengih-sengih seperti kerang busuk. Akhirnya kedengaran gelak tawanya bergema. Kelihatan orang ramai menjeling-jeling tajam melihat gelagat kami berdua. Lagak seperti tasik itu kami yang punya. Aku tersenyum melihat tawanya. Ya, aku berjaya membuat wajahnya berseri semula. Aku mula menghitung hari bersedia menghadapi kehilangan sahabat karibku ini. Hatiku merintih pilu mengenangkan perpisahan yang bakal aku hadapi. Ya Allah kau tabahkanlah hatiku ini. Kalau aku bersedih siapa lagi yang aku harapkan dapat menghiburkan aku. Perlahan menitik air mataku mengenai pipi.

“Babe, kau okay tak ni? Kenapa menangis ni?” Hazriq menyeka air mata yang semakin lebat membasahi pipiku. Aku mengeleng sambil tersenyum. Hazriq terpinga-pinga melihat reaksi spontan aku. Aku membalas dengan senyuman. Sungguh hatiku menjadi sayu. Terbayang di ruang mindaku Hazriq memegang tangan bakal isterinya dan melambai-lambai ke arahku. Aku semakin sedih, terasa kehilangan. Hazriq semakin pelik melihat tingkahku. Tanganku ditarik perlahan ke dalam genggamannya. Dapat kurasakan hangat jari jemarinya.

“Dengan ini aku nak umumkan kau terkena April Fool dari Mohd Adam Hazriq. Hahahaha,” ketawa Hazriq mula mengilai. Kelihatan mukanya merah menahan tawa. Aku mengetap bibir geram. Lantas beberapa buku lima hinggap di bahunya berkali. Hazriq semakin galak mengetawakan aku. Pecah rekod aku yang jarang dikenakan April Fool, aku terlupa mengenai tarikh hari ini. Beria-ria aku menangis membayangkan aku akan semakin jauh darinya. Hatiku mula mengomel geram.

“Kurang ajar kau, Riq kenakan aku, sumpah aku nak merajuk lima tahun dengan kau,” aku mula menarik muka masam dan menjarakkan kedudukan aku dengan Hazriq. Hazriq mencucuk-cucuk pinggangku sambil menyanyi. Aku masih menunjukkan wajah monyokku. Sengaja aku mengumpan begitu untuk mengenakan dia semula. Hazriq mengunjukkan kotak berbalut kemas kepadaku. Aku menyambut kotak itu perlahan sambil tersenyum. Pandai juga Hazriq ini memujuk rupanya. Aku tersenyum-senyum memandang wajahnya berselang seli memandang kotak yang kini berada di tanganku. Aku mengoyak perlahan balutan yang membaluti kotak kecil itu. Sebaik kotak terbuka melompat katak kecil berwarna hijau ke pahaku. Spontan aku menjerit dan berlari ke arah motorku. Hazriq semakin galak mentertawakan aku. Sempat batu kecil ku baling ke arahnya, namun sempat dielak oleh Hazriq. Aku segera meninggalkan dan menunggang motorsikalku terus pulang ke rumah.


Wednesday, 6 April 2011

BAB 2.

“Qilah, bangun!!!! Dah tengahari ni woii!!” ketukan bertalu-talu mengejutkan lenaku. Hatiku mendengus geram. Tak boleh tengok orang senang betullah adik aku ini. Aku mengeliat malas, jam di meja aku melihat sekilas.

“Alamak, dah pukul 11! Mati aku lambat lagi!!”, hatiku getus marah dengan abang aku, Hanif yang mengajak aku menemaninya menonton perlawanan bola di kedai mamak pagi tadi. Arghh kalau aku tak ikut mesti aku tak lambat ke kelas hari ini. Terbayang di ruangan mindaku wajah Puan Roziana yang bengis. Habislah kena marah lagi. Masuk hari ini dah tiga kali aku lewat ke kelasnya. Kelam kabut aku mencapai tuala dan terus ke bilik air. Aku yang bersiap ala kadar lantas menuruni tangga dengan laju. Kelihatan ibu, ayah dan adikku, Ariani bersarapan bersama di meja makan.

“Makan dulu Qilah. Isi perut awak tu dulu. Nanti sakit kang”, ibu menegurku. Aku yang kelam kabut menyarung stoking hanya menggeleng. Selesai saja menyarung kasut, kunci motorsikal ego aku dicapai. Berderum enjin apabila aku memulas minyak. Kena rempitlah gayanya. Terus ku tinggalkan perkarangan rumah.


Riuh rendah kelas aku dengan gelak tawa rakan sekuliahku. Pelik. Mana Puan Roziana ya? Tak masuk ke? Hatiku membebel sendirian. Aku duduk di meja paling hujung di belakang kelas. Sempat aku menjeling Anis dan kawan-kawannya yang bergelak ketawa sambil menepuk-nepuk meja. Aku mencebik menyampah. Siapa yang tidak kenal Anis Farhana, pelajar tercantiklah katakana. Tapi perangai buruk. Bila berlonggok dengan rakan sekutu dengannya, mulalah bergosip. Kalau tidak menganggu, tak kisah. Ini kalau bersembang habis semua barang di ketuk-ketuknya ke meja. Tabiat pelik minah ni. Ada saja barang di tangannya untuk dibuat bahan untuk mengetuk meja atau rakannya. Aku pusing ke belakang, kelihatan Amir dan Fatin berbual mesra. Ini lagi pasangan berkasih. Berdating tak kira tempat. Ada saja yang ingin dibualkan.Walaupun hari-hari jumpa. Aku pelik dengan perangai rakan-rakan sekelasku. Aku mencapai handphone Nokia N73 dalam poket seluar jeanku. Kelihatan beberapa mesej baru masuk. Mataku melekap pada nama “my boo” di peti masuk mesej aku.

Selamat pagi sayang. I miss you so much. I kat ofis ni. Nanti petang kita keluar pergi tengok movie ok. I love you”


Tersengih-sengih aku membaca mesej dari kekasih hati aku, Amar. Hampir seminggu aku tidak bersua muka dengannya. Kesibukan masing-masing membuatkan kami jarang sekali dapat menghabiskan masa bersama. Aku yang mengenali Amar sebagai senior di sekolah lamaku semakin akrab apabila masing-masing saling bertukar khabar. Dan akhirnya kami memutuskan untuk mengeratkan lagi hubungan dengan status bercinta. Tidak sedar tiba-tiba Akmal duduk di sebelahku memerhati pelik.

“Kau kenapa ni, Qilah? Tersengih-sengih. Ingatkan Amar lah tuh,” meluncur laju ayatnya. Aku hanya menjeling dan menyambung sengihanku. Aku membaca mesej lain, kelihatan nama Hazriq turut tertera di peti masuk mesej aku.

“Babe, petang ni kita tengok wayang nak? Aku dengar ada cerita baru, temankan aku pleaseee”

Alahai spoil lah Hazriq ni. Tak tahu ke petang ni aku ada date dengan Amar. Aku membalas mesej menolak ajakannya. Merajuklah sekejap lagi dengan aku mamat ni. Tengok jela nanti. Lelaki tapi perangai macam perempuan. Merajuk saja kerjanya. Hatiku membebel.

Aku memandang Akmal disebelahku yang sibuk bermain PSP ditangannya. Dah besar pun main game lagi mamat sorang ni.

“Eh Mal. Puan Roziana masuk ke tak harini? Buat aku kelam kabut nak datang kelas dia pagi nit au,” aku membebel. Teringat aku yang kelam kabut untuk mengelakkan bertembung dengan Puan Roziana.

“Aku dengar takda kot. Puan Roziana balik kampung, ayah dia meninggal katanya,” Akmal membalas tanpa memandang aku. Tangannya masih lagi ligat menekan butang-butang PSPnya. Aku mendengus, ini kalau balik seronok ni. Sambung tidur balik sementara tunggu petang menjelma.

“Aku balik dululah. Mengantuk gila temankan abang aku semalam. Bye!” aku lantas mencapai beg galasku dan menuju ke parking motor di perkarangan kolej Sunway College. Nasib baiklah rumah tak jauh.  Selepas menghidupkan enjin terus aku tinggalkan perkarangan kolej dengan senyuman di bibir dan mata layu.



Petang itu, Amar menjemputku di rumah. Sekadar jeans dan bert-shirt lengan panjang yang bercorak polka dot. Aku kelihatan sempoi dengan penampilan diriku. Tubuhku yang langsing mampu disarungkan dengan apa jenis baju pun. Tetap nampak sesuai. Hanya secalit make-up, aku memerhatikan diriku di cermin dengan perasaan puas. Handbag MNG pemberian hadiah dari kakak yang penuh dengan isi make-up, losyen dan sebagainya aku capai dan segera aku turun ke bawah mendapatkan Amar yang menunggu di ruang tamu bersama ayah dan ibu. Sebelum keluar sempat aku mengucup tangan ibu dan ayah meminta kebenaran. Kereta Honda Jazz milik Amar lantas meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah.

Seronok seharian menghabiskan masa bersama. Banyak yang dibualkan kami. Tentang pelajaran aku, tentang rakan-rakan sekuliahku. Sempat juga Amar menyelitkan nasihat agar aku menamatkan pelajaran aku dengan sebaiknya dan akan melamarku sebaik saja aku tamat belajar dan mempunyai karier sendiri. Aku tersenyum. Amar yang dua tahun lebih tua dariku nampak matang dalam berbicara. Itu yang aku senang dengan sikapnya dari dulu lagi. Tidak pernah lupa untuk memberikan aku nasihat. Lagaknya yang seperti Dr. Fadzilah Kamsah seringkali mencuit hatiku. Macam perempuan juga boyfriend aku ni kalau membebel. Aku hanya tersenyum. Sempat juga dia berkongsi pengalaman di tempatnya berkerja. Sengaja aku tekankan dia supaya berjaga-jaga dengan gadis-gadis di ofisnya kerana takut dia berubah hati dengan perempuan lain. Makan hati lah aku nanti. Amar hanya ketawa mendengar omelanku. Selesai makan malam di Papa Rich di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Amar menghantarku pulang. Tangannya kukucup hormat sebelum aku masuk ke rumah. Rasa berbunga hatiku dapat menghabiskan masa bersama dengan yang tersayang hari ini. Aku tersenyum lagi.

BAB 1.

Hiruk pikuk dan suara puluhan manusia saling bersahutan di kedai mamak. Aku rimas dengan suasana tersebut. Aku hanya sekadar pemerhati. Kelihatan beberapa manusia siap berbaju jersi pasukan kegemaran masing-masing. Tidak kurang juga penjual shisha ke hulur hilir melayani pelanggan. Asap shisha dan rokok yang berkepul-kepul ke ruang udara semakin merimaskan aku. Aku yang sangat sensitive dengan asap semakin tidak selesa. Abangku di sebelah khusyuk mengadap skrin putih yang terpampang perlawanan bola kegemrannya. Apa mimpi abang aku ajak aku menemani dia menonton perlawanan bola antara Chelsea dan Manchester United pun aku tak tahu. Aku yang memang tidak meminati sukan lasak kegemaran ramai itu  hanya mengiakan sahaja minat abang aku yang seorang ini. Roti canai di pinggan sudah 3 keping aku makan tapi perutku masih terasa lapar. Hampir 2 jam aku melanguk di meja mengadap laptop aku. Hanya online saja dapat menghilangkan kebosanan dan melupakan sebentar hiruk pikuk di kedai mamak ini. Kekecohan mula beransur reda bila masing-masing meninggalkan Restoran ABC Ali. Abang aku yang mengeliat malas menarik tangan aku dan menuju ke kereta Myvi abang aku yang parkir di seberang jalan. Abang aku memang saja menyusahkan aku. Dalam perjalanan pulang, aku membebel kegeraman dengan abangku. Dia sekadar tergelak kecil dan memandu perlahan menuju ke rumah. Tiba saja di perkarangan rumah, aku bergegas masuk dan naik ke tingkat atas. Mata aku yang layu memang tidak dapat ditahan sejak dari tadi lagi.  Nampak saja katil mata aku menjadi selayunya. Selepas mencuci muka dan menggosok gigi terus aku melompat atas katil dan melelapkan mata. Teddy bear besar pemberian ayah hadiah pemberian hari jadiku yang ke 17 ku peluk erat dalam dakapanku.