Baru aku perasan sudah hampir seminggu Hazriq tidak menghubungi aku. Selalunya pagi-pagi lagi bergegar handphone aku dengan mesej darinya. Tak boleh jadi ni. Merajuklah dengan aku gara-gara tidak menemani dirinya menonton wayang tempoh hari. “Hish, kemanalah Hazriq ni menghilang,”dengus hati aku. Terasa kekok bila dia tidak menelefonku seperti selalu. Aku cuba membuat panggilan ke telefon bimbitnya tapi gagal dan masuk ke peti suara. Hatiku mula berprasangka buruk bimbang sesuatu terjadi dekat satu-satunya sahabat baik aku itu. Hampir 2 tahun aku dan Mohd Adam Hazriq saling mengenali. Malahan segala rahsia suka duka kami berkongsi bersama. Hari-hari kami lalui bersama. Kalau tidak bergayut mesti berSMS, kalau tidak kami akan saling betemu di alam maya. Pokok kata hubungan kami seperti pasangan orang bercinta. Aku bahagia dapat mengenali dia. Walaupun perkenalan yang tidak sengaja itu bermula dengan pertengkaran namun kelamaan kami mula menerima hakikat bahawa kami ditakdirkan untuk bersahabat. Nak kata kami bercinta mustahil sekali tapi aku lebih selesa menceritakan segalanya dengan dia. Jika aku ada masalah dengan buah hatiku tidak segan aku menelefon dan menangis semahunya menceritakan masalahku satu demi persatu begitulah sebaliknya. Dia akan cuba menenangkan hatiku yang gundah gulana dengan memetik gitar cabuknya sambil bernyanyi lagu kegemaranku untuk menghiburkan aku semula. Aku benar-benar bahagia mengenali Hazriq. Jarak rumah yang agak jauh tidak menjadi masalah untuk kami berdua saling bertemu. Aku yang tinggal di Subang Jaya manakala Hazriq pula tinggal di Semenyih, Selangor. Tersengih-sengih aku mengingatkan detik sejarah perkenalan antara aku dengan kawan baik kesayangan aku itu.
Hubungan kitaorang memang sering disalah ertikan. Ramai yang menyangka aku bercinta dengan Hazriq padahal kami hanya berstatus kawan baik sahaja. Nasib baiklah buah hati aku jenis sporting dan tidak mengambil pusing khabar angin yang mengatakan aku dan Hazriq bercinta. Hazriq hanya sekadar ketawa bila kawan-kawan perempuannya cuba mengorek rahsia mengenai diriku. Hazriq yang masih lagi single sudah pasti masih mencari mana-mana gadis yang sesuai untuk dijadikan teman pendampingnya. Akulah yang selalu menjadi mangsanya untuk menjadi orang tengah memikat gadis kegemaranya. Namun belum pernah yang berhasil lagi. Kerana menyangka Hazriq hanya orang biasa yang hanya mempunyai motor skuter cabuknya, ramai gadis memandang rendah.
Suatu hari tergempar kolej kami tergempar dengan kehadiran pelajar perempuan baru. Orangnya memang cantik, tinggi langsing dan mempunyai raut wajah yang sedap mata memandang. Hazriq yang kebetulan menjemputku pulang ternganga melihat pelajar baru yang dikenali sebagai Melissa. Dia mula menunjukkan jarum membodek-bodek aku mengenalkan gadis itu dengannya dengan lebih rapat lagi.
“Ala babe, tolonglah aku weh. Kau tak sayang aku ke? Lama dah aku menduda ni tau. Sunyi kot. Kau lainlah kan ada Amar temankan, tak kesian ke dengan aku ni babe?” Hazriq mula mengumpan aku dengan pujuk rayunya.. Aku sekadar tersenyum. Tetiba aku terasa lain. Jauh di sudut hati aku rasa cemburu sangat. Kenapa ya? Entahlah, tetiba perasaan itu muncul sendiri dan jadi menyakitkan. Aku cuba tidak mempedulikan dan menganggap ianya hal yang remeh untuk difikirkan. Memang aku tak nafikan aku dan Amar jarang berhubung sejak kebelakangan ini lantaran Amar yang baru mendapat kerja baru yang pastinya sibuk menyesuaikan diri di persekitaran tempat baru. Yang pastinya Amar jarang hendak menelefon bertanya khabar aku seperti sebelumnya. Aku dapat rasakan hubungan kami semakin jauh. Segala keperitan dan kesedihan aku akan aku kongsi bersama Hazriq. Dia sangat memahami aku. Dia cuba menenangkan aku dengan kesibukan Amar yang mungkin mencari duit untuk meminang aku juga. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak mendengar alasan Hazriq. Kenapa dia mesti menyebelahi Amar yang sudah terang-terangan menghiraukan aku? Hati aku terasa sayu. Terasa jangka masa 4 tahun aku mengenali Amar tidak seindah yang aku impikan. Namun Hazriq sering menceriakan hariku dan dapatlah aku melupakan kesedihan aku untuk sementara waktu. Di kolej jarang sekali aku berlonggok bersama teman-teman sekuliahku. Bukan kerana sombong tetapi aku agak susah untuk berkomunikasi dengan mereka. Mereka cenderung kepada gaya dan fesyen yang dibanggakan. Aku pula lebih selesa mengenakan jeans dan tshirt fit disarungkan ke tubuhku. Aku masih kolot dalam pemakaian fesyen ini lagilah make up. Aku tersengih-sengih mengenangkan kekurangan diriku.
Suatu hari aku dikejutkan panggilan dari Hazriq yang mengajak aku lepak di tempat biasa di Tasik Taman Keramat. Disitulah kebiasaan kami pada waktu petang melepak sambil mencuci mata melihat pelbagai ragam karenah dari kelompok manusia. Setibanya di Tasik Taman Keramat, aku memilih bangku kosong untuk kami duduk berdua yang menghadap tasik. Seperti ada sesuatu yang serius Hazriq ingin bincangkan dengan aku. Aku sabar menunggu dia bersuara. Dalam hati hanya Tuhan yang mengetahui debaran yang aku rasakan.
“Qilah, tak lama lagi aku nak nikah dengan gadis pilihan orang tua aku. Tarikh dan persiapan sudah mula diaturkan. Aku betol-betol terkejut babe dengan keputusan orang tua aku yang ingin segera aku mengahwini anak gadis kawan kepada Papa aku. Seriously babe, aku memang tak bersedia lagi. Tapi aku tak mampu nak menentang cadangan Papa dan Mama aku,” sayu suara Hazriq meluahkan kekalutan yang membelungi jiwanya. Aku yang turut terkejut mendengar khabar daripada Hazriq hanya mampu menelan air liur. Terasa pahit untuk aku telan. Ini bermakna aku akan berpisah dengan kawan baikku. Takkan aku nak menghubungi suami orang. Apalah kata orang tuanya dan isterinya nanti? Aku mencuri pandang melihat raut wajah Hazriq yang seakan baru lepas menangis. Aku mengerti perasaannya saat itu. Melepaskan zaman remajanya adalah sesuatu yang sukar untuk diterima. Hazriq yang tunduk tadi kini mula memandang tepat ke wajahku. Dia seakan mendengar bebelan hatiku yang turut terkejut untuk menerima kenyataan tersebut.
“Babe, kau kenapa ni? Gembiralah orang nak jadi pengantin tak lama lagi”, aku mencubit lengannya bila matanya tidak berkelip berterusan memandang anak mata coklatku. Aku memandang tepat wajahnya. Wajahnya yang seakan iras pelakon sinetron Indonesia Ricky Harun itu tidak jemu ku tatap ditambah mukanya yang putih bersih itu dengan rambut keperangan semula jadi membuatkan sesiapa gadis yang memandangnya akan jatuh cinta. Tangannya aku capai dan ku genggam kemas bersama tautan tanganku juga.
“Aku yang bernama Aqilah Danilla akan tetap sayang kawan baiknya Mohd Adam Hazriq sampai kapan pun. Suka tak aku cakap macam ini?” ujarku sambil tersengih-sengih menampakkan gigi yang tersusun atur. Hazriq di sebelah mula tersengih-sengih seperti kerang busuk. Akhirnya kedengaran gelak tawanya bergema. Kelihatan orang ramai menjeling-jeling tajam melihat gelagat kami berdua. Lagak seperti tasik itu kami yang punya. Aku tersenyum melihat tawanya. Ya, aku berjaya membuat wajahnya berseri semula. Aku mula menghitung hari bersedia menghadapi kehilangan sahabat karibku ini. Hatiku merintih pilu mengenangkan perpisahan yang bakal aku hadapi. Ya Allah kau tabahkanlah hatiku ini. Kalau aku bersedih siapa lagi yang aku harapkan dapat menghiburkan aku. Perlahan menitik air mataku mengenai pipi.
“Babe, kau okay tak ni? Kenapa menangis ni?” Hazriq menyeka air mata yang semakin lebat membasahi pipiku. Aku mengeleng sambil tersenyum. Hazriq terpinga-pinga melihat reaksi spontan aku. Aku membalas dengan senyuman. Sungguh hatiku menjadi sayu. Terbayang di ruang mindaku Hazriq memegang tangan bakal isterinya dan melambai-lambai ke arahku. Aku semakin sedih, terasa kehilangan. Hazriq semakin pelik melihat tingkahku. Tanganku ditarik perlahan ke dalam genggamannya. Dapat kurasakan hangat jari jemarinya.
“Dengan ini aku nak umumkan kau terkena April Fool dari Mohd Adam Hazriq. Hahahaha,” ketawa Hazriq mula mengilai. Kelihatan mukanya merah menahan tawa. Aku mengetap bibir geram. Lantas beberapa buku lima hinggap di bahunya berkali. Hazriq semakin galak mengetawakan aku. Pecah rekod aku yang jarang dikenakan April Fool, aku terlupa mengenai tarikh hari ini. Beria-ria aku menangis membayangkan aku akan semakin jauh darinya. Hatiku mula mengomel geram.
“Kurang ajar kau, Riq kenakan aku, sumpah aku nak merajuk lima tahun dengan kau,” aku mula menarik muka masam dan menjarakkan kedudukan aku dengan Hazriq. Hazriq mencucuk-cucuk pinggangku sambil menyanyi. Aku masih menunjukkan wajah monyokku. Sengaja aku mengumpan begitu untuk mengenakan dia semula. Hazriq mengunjukkan kotak berbalut kemas kepadaku. Aku menyambut kotak itu perlahan sambil tersenyum. Pandai juga Hazriq ini memujuk rupanya. Aku tersenyum-senyum memandang wajahnya berselang seli memandang kotak yang kini berada di tanganku. Aku mengoyak perlahan balutan yang membaluti kotak kecil itu. Sebaik kotak terbuka melompat katak kecil berwarna hijau ke pahaku. Spontan aku menjerit dan berlari ke arah motorku. Hazriq semakin galak mentertawakan aku. Sempat batu kecil ku baling ke arahnya, namun sempat dielak oleh Hazriq. Aku segera meninggalkan dan menunggang motorsikalku terus pulang ke rumah.
No comments:
Post a Comment